Citrasupply's Weblog

Inspirasi & Ekspressi Untuk Semua Golongan Di Malaysia

Kisah Abdullah Salam

Susunan SITI AINIZA KAMSARI

BUKU Sirah Nabawiyyah juga ada menceritakan sikap Yahudi yang tidak mungkin akan menerima perubahan sekalipun ada kalangan daripada mereka yang berpengaruh besar akhirnya memeluk Islam.

Ini apabila kita mengikuti kisah Abdullah bin Salam sebagaimana yang diriwayatkan oleh Al Bukhari. Abdullah adalah seorang pendeta Yahudi yang paling alim dan berpengaruh besar di kalangan penduduk Yahudi di Yathrib.

Apa yang beliau lakukan dan apa sahaja yang keluar daripada mulutnya akan diikuti dan didengar oleh para pengikut Yahudi yang lain.

Apabila Abdullah sendiri mendengar mengenai kehadiran Nabi Muhammad SAW ke Yathrib di kampung Bani An Najjar di Madinah, beliau tergesa-gesa hendak menemui baginda.

Apabila Abdullah dapat bertemu dengan Nabi Muhammad, beliau pun mengajukan pelbagai persoalan mengenai soal kenabian sebagaimana yang Abdullah ketahui sebagai pendita Yahudi.

Ini kerana tidak semua orang mengetahui perkara tersebut kecuali golongan yang tertentu sahaja.

Lalu dijawab oleh baginda akan segala persoalan yang dikemukakan oleh Abdullah sehingga si Yahudi ini begitu berpuas hati kerana ia menepati sebagaimana yang beliau ketahui selama ini dan dapat menyaksikan sendiri tanda yang terdapat pada tubuh baginda yang disebut sebagai khatamun nubuwwah, pengakhir zaman kenabian.

Tanpa banyak bicara, Abdullah pun memeluk Islam tanpa sebarang ragu-ragu lagi di hadapan baginda kerana beliau meyakini bahawa bagindalah nabi akhir zaman yang disebut-sebutkan dalam kitab Taurat.

Selepas mengucapkan dua kalimah syahadah di hadapan baginda, Abdullah pun berkata: “Sesungguhnya kaum Yahudi adalah kaum yang suka mengada-adakan cerita. Kalaulah mereka tahu keislamanku sebelum kamu tanyakan mereka sudah tentu mereka kan menuduh yang bukan-bukan mengenai diriku kepada kamu.”

Lalu baginda pun mengutuskan wakil untuk menjemput kalangan para pemimpin dan pengikut kaum Yahudi supaya hadir menemui baginda.

Apabila mereka hadir dan berkumpul di hadapan baginda Rasulullah, pemimpin mereka Abdullah Salam pun masuk ke belakang, menyembunyikan diri.

Baginda pun menyampai seruan dakwah terhadap kaum Yahudi di hadapan baginda itu dengan meminta mereka mengakui keesaan Allah dan diri baginda sebagai pesuruh-NYA.

Namun usaha baginda itu, tidak mendapat sambutan sehinggalah baginda kemudiannya bertanya kepada mereka; “Baiklah kamu tidak dapat menerima seruan dakwah saya, tetapi siapakah lelaki di kalangan kamu yang bernama Abdullah bin Salam?”

Mereka pun menjawab; “Dia adalah pemimpin kami yang paling kami hormati, kerana dialah yang paling alim dan paling kuat beramal di kalangan kami. Dia juga yang terbaik.”

Dengan lain perkataan Abdullah Salam sering dipandang tinggi dan mulia di kalangan para pengikutnya dan pastinya apa pun perubahan yang berlaku pada Abdullah pasti akan diterima dengan baik.

Lalu baginda berkata lagi; “Apa pandangan kamu jika aku katakan bahawa pemimpin kamu itu, Abdullah bin Salam telah memeluk Islam?”

Lalu mereka menjawab berulang kali sambil bersorak: “Kami berlindung kepada Allah dari yang demikian!” Kami berlindung kepada Allah dari yang demikian! Kami berlindung kepada Allah dari yang demikian!”

Mendengarkan itu, lalu Abdullah pun keluar daripada persembunyiannya lalu berkata di hadapan para pengikutnya itu: “Aku bersaksikan bahawa tiada tuhan selain Allah dan aku juga bersaksikan bahawa Muhammad ini adalah pesuruh Allah!”

Lantas mereka pun menjawab dengan nada yang sungguh marah dan tidak puas hati: “Oh tidak! Abdullah adalah orang yang paling jahat di kalangan kami dan dia juga sebenarnya adalah anak orang yang paling jahat!”

Mereka pun terus menuduh yang bukan-bukan terhadap Abdullah namun Abdullah berkata: “Hai sekalian kaum Yahudi, bertakwalah kamu terhadap Allah. Demi Allah yang tiada tuhan selain-Nya dan kamu benar-benar tahu bahawa Muhammad ini adalah Rasulullah yang datangnya untuk membawa kebenaran kepada kita semua,”

Lalu mereka pun menjawab: “Kamu pembohong besar!”

Terbukti tidak sampai beberapa minit mereka terus berubah apabila berhadapan dengan perkara yang mengancam kepentingan mereka. Pemimpin yang mereka sanjung selama ini pun terus tidak lagi mendapat tempat di hati mereka apabila sudah tidak sealiran lagi, apatah lagi terus memeluk Islam.

Utusan Malaysia | Arkib : 06/10/2010

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

Information

This entry was posted on Oktober 9, 2010 by in Yahudi vs Palestin and tagged , , , .
%d bloggers like this: