Citrasupply's Weblog

Inspirasi & Ekspressi Untuk Semua Golongan Di Malaysia

Satelit sains dan cuaca

KEBANYAKAN saintis percayai alam semesta terbentuk kira-kira 14 bilion tahun lalu selepas berlakunya letupan yang amat besar yang dipanggil Letupan Besar (Big Bang).

Bagi mengkaji alam semesta, manusia mencipta satelit bagi membantu manusia mengkaji sama ada peristiwa itu pernah berlaku atau tidak.

Satelit COBE atau dikenali dengan Penjelajah Latar Belakang Kosmos yang dilancarkan pada tahun 1989 mengambil masa selama lima tahun untuk mengesan gelombang mikro yang asli di angkasa.

Saintis percaya bahawa gelombang mikro asli yang masih berada di angkasa merupakan tinggalan Letupan Besar.

Apabila melihat bulan dan bintang pada malam hari ketika langit cerah akan menyebabkan mata kita hanya dapat melihat sinar cahaya tampak.

Kita tidak akan dapat melihat sinar yang lain sampai di bumi angkasa melainkan melalui satelit.

Peralatan dalam satelit akan dapat mengesan pelbagai gelombang seperti gelombang radio, sinar inframerah dan ultralembayung, sinar-X, sinar gama serta sinar kosmos.

Semua maklumat berkenaan akan dihantar sebagai isyarat radio ke bumi untuk dianalisis oleh saintis di stesen Bumi.

Sebenarnya satelit banyak membantu dari segi pemberitahuan maklumat terkini mengenai cuaca dan suhu dengan memberi ramalan yang lebih tepat.

Berjuta-juta penduduk di bumi termasuk petani dan nelayan hingga ke juru terbang dan kapten kapal, bergantung pada laporan cuaca harian.

Beratus-ratus buah satelit di angkasa digunakan hanya untuk penyelidikan misalnya Compton GRO (Balai Cerap Sinar Gama) fungsinya untuk mengesan sinar gama.

Ia menemui tapak semaian tempat anak bintang dibentuk daripada awan besar habuk antara bintang.

Pada 1992, Penjelajah Ultralembayung Lampau (EUE) mula mengimbas langit untuk sinar ultralembayung.

Satelit itu memerhati bintang yang amat panas yang mungkin akan meletup seperti supernova di samping objek misteri yang besar iaitu kuasar.

Satelit Astronomi Inframerah (IRAS) pula memetakan sinar inframerah dari angkasa.

Kebanyakan bintang yang sedang panas tetapi cukup panas untuk bersinar untuk cahaya nampak.

Satelit cuaca memantau keadaan cuaca dan suhu seperti TIROS (satelit cerapan televisyen dan inframerah) pada tahun 1960.

Ia merekodkan mengenai litupan dan jenis awan, serta memberi amaran tentang ribut seperti taufan.

Sejak tahun 1970, satelit Pentadbiran Oseannografi dan Atmosfera Kebangsaan Amerika Syarikat (NOAA), memasuki orbit kutub dan memantau bumi dua kali sehari.

Peralatan saintifiknya mengesan litupan awan dan jenis awan, salji dan ais di bumi, ketulan ais di laut, suhu udara, suhu permukaan tanah dan laut dan kelembapan – jumlah wap air dalam udara.

Beberapa buah satelit cuaca di orbit geopegun, antaranya ialah Meteosats milik Eropah untuk benua Eropah dan Afrika, manakala Insat pula milik India untuk sebahagian dari Asia dan Lautan Hindi.

Seterusnya ialah satelit GOES milik Amerika Syarikat untuk timur Pasifik, Amerika Utara dan Selatan serta Kepulauan Caribbean.

Satelit berkenaan dihubungkan ke rangkaian untuk memantau atmosfera planet, tekanan udara, angin, suhu dan maklumat lain tentang cuaca.

Fakta

* Lubang ozon

Satelit cuaca menunjukkan bahawa atmosfera dan iklim dunia sedang berubah.

Satelit TOMS-Meteor-3 dilancarkan pada tahun 1991 bagi memantau lubang ozon yang muncul setiap musim bunga di atas Kutub Selatan.

Jika lubang itu melebar dan tersebar ke kawasan yang berpenghuni ia akan memungkinkan kemasukan lebih banyak sinar ultralembayung matahari sekali gus mendatangkan kemudaratan kepada manusia, haiwan dan tumbuh-tumbuhan.

Sumber :  Arkib Utusan Online 10/10/2007

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

%d bloggers like this: